Menu
Harjit Singh2

Harjit Singh Hullon dan nilai setia

 

BANYAK nilai kehidupan yang diterapkan mendiang ibu bapa, Bhagwan Singh dan Ranjit Kaur dalam diri ikon pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon.

Paling diingati adalah amalan makan bersama-sama anggota keluarga yang nyata mengeratkan ikatan dan penyatuan kekeluargaan.

Menurut Harjit, selagi anggota keluarga tidak lengkap dan duduk di meja makan, masing-masing tidak dibenarkan untuk menjamah makanan yang disediakan.

“Mendiang orang tua saya sangat menitikberatkan amalan ini. Mereka selalu mengingatkan tentang kebaikan makan secara beramai-ramai.

“Seperti kata pepatah Inggeris, the family who eats together stays together (keluarga yang makan bersama akan tetap bersama).

“Jadi kami tidak pernah gagal untuk berbuat sedemikian. Adik beradik akan menanti kehadiran anggota keluarga yang lain apabila tiba waktu makan.

“Tradisi yang sama diteruskan oleh keluarga saya pula kini,” jelas suami kepada Sabinder Kaur, 62, dan bapa kepada Dr. Rajinderjit S. Hullon, 33, dan Melvinderjit S. Hullon, 30, ini.

Selain amalan tersebut, Harjit memberitahu, mendiang orang tuanya itu juga amat menitikberatkan kepentingan membaca yang dapat meluaskan pengetahuan.

Setiap Sabtu, mendiang bapanya menghantar Harjit dan adik beradik yang lain ke perpustakaan sekitar ibu negara sebelum ke tempat kerja dan mengambil mereka selepas selesai waktu kerja.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, mendiang bapanya pasti akan bertanyakan pengisian buku-buku yang dibaca sepanjang berada di gedung ilmu berkenaan.

“Kami sekeluarga hidup sederhana. Cukup makan dan pakai. Mendiang bapa bekerja sebagai pegawai kerajaan manakala mendiang ibu seorang suri rumah.

“Jadi faham-fahamlah kalau keluarga itu bergantung sepenuhnya kepada bapa yang mencari nafkah. Kami tak boleh berbelanja mewah.

“Sebaliknya mendiang bapa selalu menasihatkan kami, kalau nak hidup senang, akademik perlu cemerlang agar berpeluang mendapat kerja yang hebat dengan tawaran gaji yang besar,” ujarnya lagi.

Sentiasa ingat dengan pesanan mendiang bapanya, justeru Harjit sentiasa memastikan keputusan peperiksaannya setiap tahun memberangsangkan.

Harjit membuktikan kecemerlangan akademiknya apabila layak memasuki sekolah Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria) dengan berbekalkan keputusan peperiksaan Penilaian Darjah Enam yang memberangsangkan.

Ketika itu dia belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Pasar, Kuala Lumpur (kini dikenali Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Pasar).

“Semasa bersekolah di VI, saya juga membuktikan kemampuan dalam aktiviti sukan.

“Saya pernah menjadi ketua pasukan hoki selama dua tahun berturut-turut ketika di tingkatan empat.

“ Selain itu saya juga terlibat dengan perlumbaan jarak jauh dan merentas desa,” kata anak keempat dari enam beradik ini.

IMPIAN

SELEPAS tamat peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1971, Harjit mengikut abangnya, Jagjit Singh, 64, untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Manipal, India.

Bagaimanapun disebabkan keadaan kesihatan tidak menentu dan kerinduan terhadap keluarga, Harjit pulang ke tanah air selepas enam bulan di negara tersebut.

Harjit kemudiannya mengintai peluang bekerja di Wiswa Radio, RTM yang ketika itu terletak di Rumah Persekutuan berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Tarikh 21 November 1971 cukup bermakna kerana saat itu bermula karier saya dalam bidang penyiaran radio. Saya memulakan langkah di bahagian penerbitan program pendidikan.

“Saya mengendalikan program Irama Pagi, Pagi Khamis dalam saluran Rangkaian Biru di radio RTM. Rangkaian Biru adalah stesen radio berbahasa Inggeris. Tapi saya membaca berita dalam bahasa Melayu di stesen radio tersebut.

“Selepas dua tahun, pada tarikh 3 Mac 1973, saya muncul di kaca televisyen pula. Saya membaca berita akhir, petang dan perdana selama setahun sebelum berpeluang ke Dunia Jam 10,” katanya.

Komitmen yang tinggi juga menyebabkan Harjit kekal selama tiga dekad sebagai pembaca tetap Dunia Jam 10 selain Farid Ismeth Emir, Jessica Ong, Maiza Musa dan Zaini Yuhyi.

Menghabiskan masa lebih dua pertiga daripada kehidupannya dengan membaca berita, Harjit mengakui minat yang mendalam menyebabkan dia terus setia dengan profesion berkenaan.

Turut mengekalkan disiplin dan dedikasi yang tinggi, Harjit percaya kesilapan dapat dikurangkan andai setiap kerja itu dilakukan dengan penuh keikhlasan.

“Orang luar fikir membaca berita mudah. Tapi saya tidak menganggap begitu sebaliknya merasakan satu tanggungjawab yang berat.

“Seboleh-bolehnya saya mahu kesempurnaan sepanjang tempoh bertugas dalam dunia penyiaran. Sebab itu setiap cabaran yang datang saya tangani sebaik-baiknya.

“Saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang memahami kerjaya yang menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang pembabitan saya dalam bidang penyiaran ini,” ujarnya.

SETIA DENGAN RTM

Kredibiliti Harjit dalam dunia penyiaran menyebabkan dia diiktiraf sebagai penyampai berita paling lama berkhidmat oleh Malaysia Book of Records pada 2011.

Ketika pengiktirafan itu dibuat, Harjit telah berkhidmat selama 38 tahun di RTM. Bukan tidak pernah ditawarkan untuk berhijrah ke stesen televisyen lain, dengan ganjaran yang besar dan kedudukan yang terjamin namun Harjit tetap dengan pendirian enggan berubah angin.

Ini kerana menurut Harjit, jiwanya setia dengan RTM yang banyak mengharumkan namanya dalam bidang penyiaran.

“Saya bukan jenis yang mudah lupa dengan jasa-jasa orang terdahulu yang banyak membantu mengukuhkan kerjaya saya ini.

“Begitu juga dalam konteks berpindah kerja, saya bukan jenis yang mudah tertawan dengan janji manis ditawarkan syarikat baharu.

“Saya juga tidak pernah menyesal menolak tawaran yang lebih lumayan daripada yang saya peroleh hari ini. Biarlah saya setia dengan RTM.

“Keputusan ini dibuat kerana memikirkan keselesaan dan masa depan saya dan keluarga,” tegasnya berhubung pendirian untuk terus bersama-sama RTM.

Dalam pada itu, Harjit yang kini sudah berusia 62 tahun meluahkan keinginan untuk bersara dalam bidang penyiaran penhujung tahun ini kerana mahu menghabiskan masa dengan keluarga.

Selain mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu, Harjit juga merasakan sudah tiba masanya untuk berundur diri selepas 44 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dan bimbingan kepada pembaca berita generasi baharu.

“Walaupun saya berhenti daripada tugas menjadi pembaca berita tapi rasa cinta terhadap tugasan kewartawanan masih tidak bernoktah.

“Saya berhajat untuk terus menyubang tenaga dengan menjadi penyunting berita di RTM secara sambilan,” kata Harjit yang juga jurulatih hebahan untuk kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad sejak 15 tahun lalu. Utusan

 

Comments

comments

Search