Menu
BC

Resolusi Majlis Peguam bercanggah

 

MENGIKUT laman webnya, Badan Peguam Malaysia dianggotai 16,539 ahli pelbagai kaum dari seluruh Semenanjung (termasuk 11 peguam dari Wilayah Persekutuan Labuan), selain semua kaum utama di negara ini – Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Ia menyebut, lima negeri yang mempunyai peguam berdaftar teramai adalah negeri dengan bandar besar di Pantai Barat Semenanjung, iaitu Wilayah Persekutuan 6,750 orang, Selangor 4,024 orang, Pulau Pinang 1,283 orang, Johor 1,268 orang dan Perak 738 orang.

 Walaupun Badan Peguam adalah pelbagai kaum, barisan pemimpin tertingginya biasanya diterajui kaum bukan Melayu dan bagi bagi sesi 2016/2017 Presidennya adalah Steven Thiruneelakandan; Naib Presidennya George Varughese dan Setiausahanya, Karen Cheah Yee Lynn.

Lima Presiden Majlis Peguam sebelum Thiruneelakandan mula memegang jawatan ini pada 2015 juga adalah bukan Melayu, iaitu Yeo Yang Poh (2005-2007), Ambiga Sreenevasan (2007-2009), Ragunath Kesavan (2009-2011), Lim Chee Wee (2011-2013) dan Christopher Leong (2013-2015).

Dan pada Sabtu 19 Mac lalu, pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70 Badan Peguam di ibu negara, satu resolusi dikemukakan oleh tiga ahli bukan Melayu badan itu – Charles Hector Fernandez, Francis Pereira and Shanmugam a/l Ramasamy.

Pernyataan utama di dalam resolusi yang dikemukakan mereka ini berbunyi ‘Bahawa Badan Peguam mendesak (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali supaya segera meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara, bagi kebaikan Malaysia, untuk mengembalikan keyakinan dan persepsi awam kepada kedaulatan undang-undang, khususnya pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia.’

Tindakan tak berasas Menariknya, sementara satu lagi resolusi yang dibahaskan pada Mesyuarat Agung Tahunan itu, yang berkait dengan Skim Pembangunan Profesional Berterusan, dilandaskan kepada Seksyen 42(1) (b), (c) dan (e) Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166), resolusi mendesak peletakan jawatan Mohamed Apandi ini tidak disertakan sebarang asas.

Ada kemungkinan resolusi ini diasaskan kepada Seksyen 42(1) (a) Akta 166 yang menyebut bahawa tujuan Badan Peguam ialah ‘untuk mempertahankan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya, tidak terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan.’

Sama ada resolusi mendesak peletakan jawatan Mohamed Apandi ini bertepatan dengan kehendak ‘untuk mempertahankan keadilan’ seperti yang dinyatakan adalah satu perkara yang boleh diperbahaskan oleh pengamal dan pensyarah undang-undang mahupun oleh orang awam.

Sementara ada yang bersetuju dengannya, ada yang pasti menyanggah dengan menyatakan resolusi ini bukan mempertahankan keadilan, tetapi menghalang keadilan, khususnya pentadbiran keadilan jenayah, seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan, daripada ditegakkan.

Resolusi ini kelihatan bercanggah dengan Seksyen 42(1) (d) Akta 166 kerana resolusi ini dibuat tatkala Badan Peguam tidak pernah diminta untuk menyatakan pendapatnya atas perkara yang membabitkan perundangan dan pentadbiran serta amalan undang-undang di Malaysia.

Bercanggah dengan peraturan Resolusi ini bercanggah dengan Seksyen 42(1) (l) Akta 166 kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik dan pergaulan sosial antara Badan Peguam dan Peguam Negara sehingga boleh menjejaskan pencapaian tujuan lain Badan Peguam yang termaktub dalam Akta 166.

Seperti yang diviralkan dalam media sosial, resolusi ini sebenarnya tidak mewakili pandangan majoriti ahli Badan Peguam kerana yang mengundi menyokongnya hanyalah 740 peguam, berbanding 16,539 ahli Badan Peguam, ia hanya membentuk 4.47 peratus daripada keseluruhan ahli.

Kewajaran Badan Peguam meluluskan resolusi ini boleh dipertikai kerana hujah diberikan tidak kukuh. Resolusi itu terang-terang menyebut bahawa ‘Mohamed Apandi mungkin tidak bersalah membuat apa-apa salah laku atau apa-apa pengabaian tugas.’

Desakan supaya Mohamed Apandi segera meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara untuk kebaikan Malaysia dan untuk memperbaiki persepsi awam kepada pentadbiran keadilan tatkala Badan Peguam mengakui bahawa beliau ‘mungkin tidak bersalah’ adalah sesuatu yang pelik.

Desakan ini, selain bertentangan dengan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ yang menjadi prinsip utama pentadbiran keadilan jenayah, tidak boleh dipertahankan kerana keadilan tidak sepatutnya digantungkan kepada ‘persepsi awam’ apatah lagi ‘perbicaraan oleh media.’

Bila badan Peguam berpendapat bahawa Peguam Negara mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab yang bertentangan, langkah yang patut dibuat oleh Badan Peguam ialah menggesa Parlimen mengasingkan tugas dan tanggungjawab ini, bukan mendesak Peguam Negara meletakkan jawatan.

Banyak pihak mempersoalkan agenda sebenar Majlis Peguam yang meluluskan resolusi mendesak peletakan jawatan Mohamed Apandi dan di dalam membuat semakan kehakiman ke atas keputusan yang beliau buat.

Tidak hairanlah apabila pemimpin DAP seperti Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan tindakan Majlis Peguam ini sebagai langkah politik, manakala R S Nayer pula menyifatkannya sebagai menjadikan Majlis Peguam sebagai bahan ketawa semata-mata.

Dr kamarul zaman yusof

Comments

comments

Search